• PRU13 Surat Terbuka Kepada Penduduk P102 Serdang

    Kepada semua rakyat Malaysia, pengundi serta penduduk kawasan P102 Serdang,

    Hari ini saya telah diumumkan sebagai calon Parlimen DAP untuk P102 Serdang.

    Ayuh! Perubahan di tangan anda

    Malaysia milik kita bersama. Kita sebagai rakyat telah lama memerah keringat, bersama membangunkan tanah air tercinta ini. Tidak boleh tidak, kita harus mengakui bahawa selama lebih 56 tahun Barisan Nasional menerajui kerajaan, kita disaksikan dengan monopoli kuasa yang akhirnya membebankan.

    Dekad-dekad yang lalu telah menyaksikan berlakunya pengaliran keluar berbilion-bilion Ringgit akibat rasuah, salahguna kuasa dan pembaziran. Kita juga sedia maklum, kroni-kroni Barisan Nasional telah lama mendapat manfaat besar hasil titik peluh kita para pembayar cukai, kemerosotan sistem pendidikan yang parah tidak dapat dinafikan lagi, kita juga berhadapan dengan kelemahan sistem pilihan raya yang tidak bersih dan adil, malah kita menyaksikan penghijrahan keluar ramai anak-anak Malaysia yang terpaksa ke luar negara demi mencari kehidupan yang lebih baik. Ini tidak lain hasil dari kelembapan ekonomi disebabkan monopoli yang keterlaluan dan kerakusan pengumpulan harta negara oleh kroni dan pemimpin.

    Tawaran saya buat anda

    Sebagai calon Ahli Parlimen yang mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam gabungan Pakatan Rakyat, saya memberi jaminan akan memainkan peranan dalam menunaikan segala janji yang telah diisytiharkan dalam manifesto Pakatan Rakyat; ‘Manifesto Rakyat – Pakatan Harapan Rakyat.’

    Dengan penyertaan saya sebagai salah seorang ahli jawatankuasa perancangan manifesto ini, saya berkeyakinan penuh bahawa perlaksanaan Manifesto Rakyat mampu mentransformasikan Malaysia bermula dari akar umbinya dan bakal memberi manfaat kepada kita dan generasi akan datang.

    Sebagai bakal Ahli Parlimen anda, saya punya iltizam yang kuat untuk menyumbang sepenuh tenaga dan minda dalam mereformasikan tiga sektor sistem awam yang menjadi asas pembentukan serta penentu hala tuju Negara. Ia adalah sistem pilihan raya, sistem ekonomi dan sistem pendidikan negara kita.

    Berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas saya dalam bidang korporat, akademik dan politik, saya bersedia sepenuhnya untuk membantu mereformasikan ketiga-tiga sistem ini.

    Jika saya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen anda, saya berjanji akan menyokong segala penggubalan dasar dan penguatkuasaaan undang-undang dalam memastikan agar ruang awam dan kawasan hijau (green lung) akan terus terpelihara dan terlindung.

    Saya juga penuh keyakinan, PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan distrukturkan semula agar mampu memerangi jenayah dengan lebih berkesan. Kita juga mahu kualiti sistem pengangkutan awam dipertingkatkan terutamanya dari segi akses dan liputan. Begitu juga dengan perbincangan awam yang akan diadakan untuk setiap projek pembangunan yang akan memberi kesan kepada kawasan ini.

    Masa untuk melakukan perubahan sudah tiba. Masa depan kita dan generasi yang akan datang terletak sepenuhnya di tangan anda. Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia!

    Dr. Ong Kian Ming
    Strategis Pilihanraya DAP
    Calon Parlimen P102 Serdang
    Khamis, 18 April 2013

Leave a reply.