• PRU13 Reformasi Sistem Pilihanraya

    Kepada semua rakyat Malaysia, pengundi serta penduduk kawasan P102 Serdang,

    Seandainya kita ingin melihat pilihanraya yang bersih dan adil dilaksanakan di Malaysia, dua perkara asas harus menjadi jaminan iaitu mewujudkan senarai pengundi yang bersih serta mengkekalan prinsip ‘satu undi untuk setiap seorang warga Malaysia.

    Malangnya, kedua-dua prinsip itu lemah sehingga menimbulkan kesangsian dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap ketelusan proses pilihanraya di Malaysia. Malahan, proses pilihanraya ketika ini tidak dapat menjamin pembentukan kerajaan yang benar-benar mewakili aspirasi dan harapan keseluruhan rakyat Malaysia.

    Sistem pilihan raya masih tidak bersih

    Saya ada bukti kukuh dan telah berkali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa senarai pengundi di Malaysia tercemar dan meragukan. Sebagai contoh, ketika menjalankan penyelidikan, saya telah menemui rekod seorang pengundi di Sarawak yang bernama Tey Kim yang dilahirkan pada tahun 1890.

    Jika beliau masih hidup pada usia 123 tahun, maka beliau bakal diisytiharkan sebagai orang tertua di dunia. Perkara ini amat mustahil kerana jika beliau masih hidup, beliau adalah 9 tahun lebih tua daripada Misao Okawa yang merupakan orang tertua di dunia berusia 114 tahun seperti yang dicatatkan dalam Guinness World Records!

    Selain itu, saya telah menemui rekod-rekod anggota polis yang kononnya berumur 100 tahun tetapi masih didaftarkan sebagai pengundi pos. Saya juga telah menemui beribu-ribu rekod pengundi di mana jantina mereka seharusnya lelaki berdasarkan nama mereka (misalnya ‘anak lelaki’ atau ‘bin’), tetapi mereka disenaraikan sebagai pengundi wanita (dan begitulah sebaliknya). Akhir sekali, saya juga telah menemui rekod beribu-ribu pengundi yang dikenalpasti dalam testimoni RCI Sabah sebagai pemegang IC lama ‘yang bermasalah’.

    Masalah perwakilan tidak adil (malapportionment) kekal berleluasa di Malaysia adalah disebabkan proses persempadanan semula yang tidak tepat dengan mewujudkan kawasan-kawasan pilihanraya yang jauh berbeza saiznya. Contohnya, pada masa ini kawasan pilihan raya Putrajaya yang diduduki kurang daripada 16,000 pengundi diwakili oleh seorang Ahli Parlimen, iaitu sama dengan kawasan pilihanraya Kapar yang diduduki 140,000 pengundi yang turut diwakili oleh seorang Ahli Parlimen sahaja!

    Amalan ini jelas menghina prinsip ‘satu undi untuk setiap seorang warga Malaysia’ dan juga sistem demokrasi perwakilan secara keseluruhannya. Walaupun mungkin terpaksa ada keperluan syarat khas untuk kawasan terpencil yang kekurangan penduduk seperti di negeri Sabah dan Sarawak, namun perlembagaan asal telah menetapkan bahawa batas setiap satu kawasan pilihanraya hanya boleh berbeza sebanyak 15 peratus lebih atau kurang daripada jumlah purata peringkat nasional.

    Dengan ini, jelaslah bahawa tugas membersihkan senarai pengundi serta mencegah berlakunya perwakilan tidak adil adalah sangat penting dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan terhadap integriti proses demokrasi. Tugas-tugas itu perlu juga dijalankan demi memastikan bahawa proses pilihanraya di Malaysia dapat menjamin pembentukan kerajaan yang benar-benar mewakilkan hasrat dan harapan rakyat jelata di Malaysia.

    Proses ini memerlukan komitmen penuh daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang bebas serta sokongan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kerajaan Persekutuan. Namun, saya percaya bahawa selagi SPR dipertanggungjawabkan di bawah seliaan Pejabat Perdana Menteri, dan selagi SPR menggaji para Pesuruhjaya, Pengerusi, Naib Pengerusi dan kakitangan yang lain yang direkrut daripada senarai penjawat awam biasa, ia tidak dapat beroperasi dengan bebas tanpa tekanan politik.

    Saya percaya bahawa SPR harus dibebaskan daripada pengaruh politik dan kerajaan semasa. Pengerusi SPR harus merupakan tokoh awam yang dihormati ramai dan dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Parlimen. SPR harus akauntabel terhadap Parlimen dan dibenarkan merekrut kakitangan sendiri tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). SPR juga harus diberi kuasa untuk mendakwa kes-kes kesalahan pilihanraya di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, dan tidak lagi perlu bergantung kepada Peguam Negara untuk berbuat demikian.

    Saya tegas membantah kewujudan undang-undang yang pada ketika ini menghalang rakyat Malaysia daripada mencabar pendaftaran senarai pengundi di mahkamah selepas diwartakan oleh SPR. Disebabkan halangan ini, SPR tidak ada insentif untuk membersihkan senarai pengundi dengan lebih kerap.

    Saya percaya bahawa proses persempadanan semula harus dijalankan setiap 10 tahun pihak SPR yang bebas dari tekanan dan pengaruh politik. Semasa proses ini berlaku, prinsip ‘satu undi untuk setiap seorang warga Malaysia’ harus dipertahankan, sama dengan perbezaan batasan kawasan pilihanraya yang seharusnya 15 peratus lebih atau kurang daripada jumlah purata nasional sahaja.

    Saya percaya bahawa pilihanraya kerajaan tempatan, termasuk pilihanraya untuk jawatan Datuk Bandar harus dikembalikan semula di seluruh Malaysia.

    Ahli-ahli Dewan Negara harus juga diundi atau sekurang-kurangnya separuh daripada mereka diundi manakala separuh lagi melalui perlantikan. Rombakan ini perlu kerana pada ketika ini, Dewan Negara gagal mewakili hak-hak negeri masing-masing akibat ahli-ahli yang dilantik Kerajaan Persekutuan melebihi ahli-ahli yang dilantik negeri masing-masing dengan nisbah 2:1.

    Umur layak mengundi juga harus diturunkan kepada 18 tahun demi menggalakkan penglibatan terus generasi muda dalam hal ehwal dan proses politik negara seawal mungkin.

    Selain itu, sistem pendaftaran pengundi secara automatik harus dilaksanakan demi memastikan bahawa setiap warga Malaysia yang layak mengundi akan menikmati hak untuk mengundi.

    Kawasan pilihanraya setiap pengundi harus berdasarkan alamat dalam kad pengenalan demi memastikan bahawa senarai pengundi yang konsisten. Justeru, segala penukaran alamat dalam kad pengenalan seharusnya secara automatik membawa kepada penukaran kawasan pilihanraya.

    Melalui penyelidikan mendalam saya, sistem pengundian pos yang sedia ada sangat bermasalah dan juga menyemai ketakutan di kalangan anggota penjawat awam, anggota polis dan tentera yang rasa terancam. Akhirnya mereka terpaksa mengundi kembali parti pemerintah kerana undi mereka boleh dan sedang diawasi. Budaya ketakutan ini harus dihapuskan melalui reformasi sistem pengundian pos.

    Saya percaya bahawa para pengundi harus diberi lebih lagi pilihan dalam proses mengundi iaitu dalam hal bagaimana dan di mana mereka dapat mengundi, asalkan integriti undi tersebut dijamin.

    Ini termasuk memberi peluang kepada warga Malaysia yang tidak menetap atau bekerja dalam kawasan pilihanraya asal mereka untuk menjadi pengundi pos. Saya percaya bahawa warga Malaysia yang menetap di luar negara seharusnya diberi peluang untuk menjadi pengundi pos termasuk mereka yang berada di Singapura, Thailand, Brunei dan Kalimantan.

    Undang-undang baru harus diperkenalkan dimana ia menetapkan penggal tetap untuk kerajaan yang akan datang demi mengelakkan merebaknya spekulasi liar terhadap tarikh pilihanraya dan juga peluang kerajaan semasa mengambil kesempatan mengadakan pilihanraya mengejut. Saya percaya bahawa undang-undang baru harus digubal yang membolehkan undi tidak percaya (vote of no confidence) dijalankan di Malaysia di mana ia akan membenarkan pilihanraya baru dilaksanakan jika kerajaan semasa gagal mengatasi perkara ini.

    Akhir sekali, saya percaya bahawa kita harus mengadakan inisiatif referendum atas soalan berikut: patut atau tidak kita terus mengamalkan sistem undian pemenang undi terbanyak (first past the post) atau pun menggantikannya dengan sistem yang lain? Saya sendiri lebih cenderung kepada sistem pilihanraya ala negara Jerman, iaitu sistem perwakilan bercampur yang bernisbah (mixed member proportional system) yang mana kelebihan sistem perwakilan berparlimen dan kelebihan sistem perwakilan bercampur membolehkan setiap parti mengekalkan kerusi secara bernisbah dapat disepadankan. Demi menuju ke arah perlaksanaan sistem sebegini, saya mencadangkan bahawa ia perlu diperkenalkan di peringkat pilihanraya kerajaan tempatan sebagai permulaan.

    Dr. Ong Kian Ming
    Strategis Pilihanraya DAP
    Calon Parlimen P102 Serdang
    Khamis, 18 April 2013

Leave a reply.