• PRU13 Reformasi Sistem Pendidikan Rendah dan Menengah

    Kepada semua rakyat Malaysia, pengundi dan penduduk kawasan P102 Serdang,

    Saya percaya bahawa pembelajaran dan penggunaan satu bahasa ‘lingua franca’ atau bahasa perhubungan umum amat penting demi membina perpaduan dan keharmonian di Malaysia. Tanpa kaedah untuk berkomunikasi dengan efektif, dapatkah kita semua saling memahami?

    Oleh yang demikian, saya percaya sepenuhnya bahawa sistem pendidikan di Malaysia harus mendidik semua anak muda Malaysia untuk bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan kita, iaitu Bahasa Malaysia dengan fasih dan mantap.

    Saya percaya bahawa sistem pendidikan kebangsaan harus dirombak dan diperkukuhkan agar ia dapat kembali semula menjadi pilihan utama semua ibu bapa di Malaysia. Justeru, subjek Bahasa Ibunda untuk pelbagai kaum di Malaysia misalnya Bahasa Cina (Mandarin), Tamil, Iban dan Kadazan harus diperkenalkan dan diajar pada waktu sekolah biasa.

    Sistem pendidikan kebangsaan harus terbuka kepada semua anak muda Malaysia tanpa mengira latar belakang dan tanpa adanya sebarang halangan biarpun dari segi perbezaan kewangan atau kebudayaan.

    Namun demikian, saya juga percaya bahawa para ibu bapa berhak menikmati kebebasan untuk memilih jenis sekolah yang sesuai dengan keperluan anak mereka. Saya tidak bersetuju dengan sistem pendidikan yang bersifat ‘satu jenis untuk semua’. Kita seharusnya membenarkan dan menggalakkan kewujudan jenis sekolah alternatif, contohnya sekolah-sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran, yang berteraskan nilai-nilai agama selaras dengan nilai-nilai akademik, yang menggunakan cara pengajian unik ataupun yang bermisi mendidik pelajar berkeperluan khas.

    Pemisahan pengurusan pentadbiran sekolah demi kualiti

    Saya percaya bahawa semua jenis sekolah yang menerima peruntukan mahupun sebarang bantuan daripada kerajaan harus terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang sosial mereka.

    Sistem pendidikan kita pada masa ini terlalu berpusat. Akibatnya, sekolah-sekolah dalam negara ini tidak dapat melaksanakan atau merancang pelan tersendiri tanpa perlu merujuk balik kepada Kementerian Pendidikan untuk kelulusan. Para guru besar serta guru-guru dibebankan dengan banyak tugas luar yang tidak berkaitan sehingga tidak cukup waktu untuk mengajar dan membimbing pelajar.

    Saya percaya bahawa kuasa pengurusan dan perancangan perlu diagihkan ke peringkat negeri dan daerah, dan juga ke peringkat sekolah termasuklah kepada pentadbir dan guru-guru sekolah itu sendiri. Dasar ini akan menghasilkan sistem yang lebih bertanggungjawab, responsif dan telus, lebih mengambil kira keperluan unik setiap negeri dan daerah yang berbeza, serta membolehkan wujud cara pengajaran dan pelaksanaan kurikulum yang lebih kreatif.

    Dalam hal ini, sistem pendidikan di Malaysia sewajarnya mengembangkan potensi setiap anak muda Malaysia sebagai individu yang  berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, berfikiran kreatif dan bersikap produktif tanpa mengira bidang dan jenis ilmu.

    Pemberian biasiswa dan kepentingan latihan vokasional

    Pemberian biasiswa haruslah berdasarkan kemampuan dan keperluan. Di samping itu, kita seharusnya sedar bahawa tidak semua pelajar sesuai untuk aliran atau bidang akademik tradisional, kerana setiap orang mempunyai kemahiran serta minat yang berbeza. Sebab itu, adalah wajar untuk kita memulihkan dan meningkatkan prestasi subjek serta bidang teknik dan vokasional. Latihan vokasional tidak harus dikaitkan dengan gaji rendah dan keadaan kerja yang buruk. Sebagai contoh, di negara Jerman yang merupakan negara berpendapatan tinggi, hampir separuh daripada semua pelajar menengah meneruskan pelajaran mereka dalam latihan vokasional. Kita perlu menggaji pendidik yang berkualiti dan berurusan dengan sektor swasta untuk bersama-sama mengendalikan latihan teknikal dan vokasional. Sekolah-sekolah juga harus dibenarkan menawarkan program-program khusus dalam ilmu seni, muzik, sukan dan lain-lain.

    Bagaimanakah caranya negara kita dapat mencapai semua matlamat ini? Jawapannya adalah dengan menggunakan peruntukan pendidikan yang sedia ada dengan lebih berkesan dan menetapkan sasaran. Jumlah peruntukan Kementerian Pelajaran pada masa ini adalah RM38.7 bilion, iaitu agihan yang terbesar sehingga mencecah 15.5 peratus daripada Bajet 2013. Andai kata kita dapat mengurangkan pembaziran dan pemborosan, dana penjimatan tersebut dapat digunakan untuk memperbaiki infrastruktur sekolah, meningkatkan kadar pendapatan para guru, justeru membantu mendidik pelajar-pelajar yang cemerlang.

    Selain itu, prestasi kerjaya dalam bidang perguruan harus dipertingkatkan agar rakyat Malaysia yang cerdik pandai dan berkaliber akan melihatnya sebagai pilihan kerjaya yang dinamik dan unik; bukan sahaja berfaedah dari segi pendapatan atau kepuasan kerja malah merupakan tanggungjawab terpuji  dalam menyumbang kembali kepada masyarakat Malaysia dan generasi akan datang.

    Selaras dengan itu, tugas-tugas pengurusan dan perancangan pendidikan yang tertentu, misalnya penetapan dasar peruntukan dan kurikulum di sekolah masing-masing, harus diagihkan ke peringkat negeri dan daerah untuk memudahkan pelaksanaan dasar tersebut.

    Dengan adanya keazaman politik dan semangat reformasi, tugas merombak sistem pendidikan dapat dipikul dan dilaksanakan dalam mencapai matlamat untuk mencapai pembaharuan yang berani dan menyeluruh.

    Dr. Ong Kian Ming
    Strategis Pilihanraya DAP
    Calon Parlimen P102 Serdang
    Khamis, 18 April 2013

Leave a reply.