• PRU13 Reformasi Sistem Pendidikan Pengajian Tinggi

    Kepada semua rakyat Malaysia, pengundi serta penduduk kawasan P102 Serdang,

    Saya percaya bahawa semua rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran selepas peringkat sekolah menengah, harus berpeluang menikmati kemudahan ini tanpa sebarang halangan. Pakatan Rakyat (PR) telah berjanji bahawa kerajaan akan membiayai pendidikan tinggi dengan sepenuhnya. Dasar ini wajar disokong semua.

    Saya percaya bahawa syarat kemasukan ke institut pengajian tinggi awam harus berdasarkan kebolehan atau meritokrasi, dan bukan hanya berdasarkan bangsa, agama, atau latar belakang sosial sahaja.

    Jika perlu melaksanakan sistem kuota, ia  perlu disasarkan kepada komuniti yang terpinggir dan harus dilaksanakan secara telus dengan matlamat yang jelas dan adil. Ia amat mustahak agar rakyat Malaysia tidak lagi hilang kepercayaan terhadap proses kemasukan ke pusat-pusat pengajian tinggi awam di Malaysia.

    Saya percaya bahawa pendidikan tinggi harus membantu mengembangkan minda dan intelek para pelajar, dan bukan sekadar melatih kemahiran atau ilmu pengetahuan hanya berdasarkan bidang pekerjaan masing-masing sahaja.

    Dilema universiti; di mana kebebasan masyarakat siswa untuk berfikir dan berkreativiti?

    Anak-anak muda Malaysia yang terdidik seharusnya berupaya untuk berfikir, mengritik dan menyelesaikan masalah dengan kritis, kreatif, berani dan bebas tanpa mengira bidang biarpun profesional atau vokasional. Oleh itu, adalah merupakan kewajipan kerajaan baru untuk memperbaiki serta-merta segala isu yang timbul seperti kemerosotan akademik dan masalah yang telah lama mengongkong perkembangan intelektual mahasiswa-mahasiswi di Malaysia.

    Demi merealisasikan hasrat ini, kita harus memulakannya dari peringkat yang paling atas. Di negara maju yang lain, Naib Canselor universiti awam biasanya dipilih mengikut struktur pentadbiran urusan dalaman universiti mereka sendiri. Proses ini biasanya melibatkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada ahli-ahli akademik yang dihormati dan individu-individu lain yang layak.

    Sudah tentu Naib Canselor tidak sepatutnya dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi seperti yang berlaku di Malaysia sekarang. Selain itu, semua Naib Canselor yang dipilih seharusnya dapat mentadbir dan membangunkan universiti masing-masing dengan cara yang difikirkan paling wajar tanpa perlu risau berlakunya campurtangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi. Peranan Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya harus dihadkan kepada menetapkan dasar-dasar pendidikan tinggi secara am.

    Sebagai bakal pemimpin negara masa hadapan, golongan mahasiswa harus dibenarkan dan digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti politik dan sosial melibatkan diskusi awam mengenai isu-isu politik, dasar-dasar dan hal ehwal negara.

    Hak untuk bersuara

    Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak warganegara Malaysia untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Perkara ini harus dihormati jika kita berhasrat mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik. Oleh itu, kelab-kelab yang mewakili parti, falsafah serta aktiviti politik harus dibenarkan wujud dan subur dalam kolej dan universiti awam mahupun swasta.

    Dalam negara demokrasi lain yang maju dan dinamik, kewujudan kelab-kelab seperti ini dalam institut pengajian tinggi merupakan perkara biasa dan langsung tidak dipertikaikan altau disoalkan orang ramai mahupun kerajaan. Justeru, para pentadbir kolej dan universiti perlu memainkan peranan dalam memupuk penglibatan pelajar dalam hal-ehwal sosial dan politik, dan bukan menghalang atau mengongkong mereka.

    Institusi-institusi pengajian tinggi harus menjadi tempat penjanaan idea baru dan penyebaran ilmu pengetahuan di negara kita. Jumlah geran dan dana penyelidikan yang dibiayai dana kerajaan harus ditingkatkan dan diperuntukkan secara telus dan terbuka kepada ahli akademik daripada universiti awam mahupun swasta.  Sehubungan itu, kolej dan universiti swasta tidak seharusnya ditubuhkan demi tujuan mengaut dan memaksimakan keuntungan sahaja. Kolej dan universiti swasta harus digalakkan menjadi dan menubuhkan institut penyelidikan masing-masing yang berkualiti, berwawasan, mampu memberikan kesan positif dan berdaya saing.

    Untuk memastikan tahap kualiti ini kekal, proses perlesenan dan pembaharuan lesen bagi institusi pengajian tinggi swasta perlu juga lebih diteliti dan diselaras.

    Hubungan institusi pengajian tinggi dan komuniti

    Institusi-institusi pengajian tinggi kita harus juga lebih prihatin dan terlibat dalam hal ehwal komuniti sekitar mereka. Para pentadbir, pendidik dan mahasiswa seharusnya lebih bekerjasama dengan persatuan penduduk, para NGO, dan ahli-ahli perniagaan tempatan demi mewujudkan semangat komuniti yang utuh serta masyarakat yang lebih proaktif. Penglibatan dalam aktiviti komuniti juga dapat memupuk semangat sukarelawan dan kesedaran sivik di kalangan golongan masyarakat siswa negara ini.

    Sudah berdekad-dekad lamanya institusi pengajian tinggi negara kita disekat dan dikongkong oleh tangan-tangan politik. Pada masa yang sama, kolej dan universiti swasta pula telah dibenarkan beroperasi ibarat cendawan tumbuh selepas hujan sehingga kualiti dan kredibiliti mereka diragui. Pendidikan tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional semakin diketepikan dan diabaikan.

    Secara keseluruhannya, sistem pengajian tinggi harus dibebaskan daripada campurtangan politik, ia perlu digalakkan untuk berdaya saing dan perlu dilibatkan dalam proses penyelidikan dan penginovasian idea. Hanya dengan ini kita sebagai rakyat Malaysia dapat mengorak langkah bersama-sama membina sistem pengajian tinggi sebenar yang bertaraf dunia.

    Dr. Ong Kian Ming
    Strategis Pilihanraya DAP
    Calon Parlimen P102 Serdang,
    Khamis, 18 April 2013

Leave a reply.