• PRU13 Reformasi Sistem Ekonomi

    Kepada semua rakyat Malaysia, pengundi serta penduduk kawasan P102 Serdang,

    Saya percaya bahawa masa depan ekonomi negara kita terletak kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan yang bernilai tinggi. Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu mereformasikan sistem ekonomi kita secara menyeluruh – iaitu dengan menyusun semula semua monopoli yang sedia ada, mempergiatkan pembangunan sector SME (perusahaan kecil dan sederhana), menurunkan kos perniagaan, dan menaiktaraf kualiti dan produktiviti tenaga buruh kita.

    Saya percaya bahawa halangan terbesar yang dihadapi oleh para peniaga adalah wabak rasuah yang parah dalam negara kita. Masalah rasuah bukan sahaja menyebabkan kos perniagaan melonjak naik, malah ia menyebabkan tenaga serta aktiviti ekonomi mengalir berpindah kepada sektor yang mudah dieksploitasi demi tujuan mengaut keuntungan haram (misalnya pembalakan, perampasan tanah dan kontrak kerajaan), tetapi bukan kepada sektor-sektor ekonomi yang lebih produktif dan inovatif.

    Gejala rasuah juga menggalakkan budaya ‘rent-seeking’ (ali-baba) yang menyebabkan berlakunya pengabaian budaya penginovasian, pelaburan dan penggunaan input-input ekonomi secara produktif. Hanya dengan wujudnya kerajaan yang telus dan responsif kita dapat hapuskan budaya rasuah secara menyeluruh.

    Ekonomi Malaysia pada masa ini masih lemah, lembap dan mundur akibat kerangka dan dasar ekonomi yang tidak adil begitu juga dengan kontrak-kontrak yang berbentuk monopoli dan oligopoli. Malah, ia kebanyakkanya dikawal oleh individu-individu serta syarikat-syarikat yang berhubungan rapat dengan pemimpin kerajaan dan parti politik tertentu (politically-connected). Oleh sebab itu, sistem ekonomi perlu distrukturkan semula demi menurunkan kos perniagaan malah mencipta ruang dan membuka peluang untuk para usahawan mengecapi kejayaan melalui kuat daya saing dan inovasi.

    Sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME) bakal menjadi enjin kepada ekonomi negara dengan mewujudkan peluang pekerjaan, pelaburan serta penginovasian. Malah potensi SME boleh dilipatgandakan dengan menghapuskan monopoli yang membebankan, menurunkan kos perniagaan dan akhir sekali menawarkan insentif yang mempunyai sasaran.

    Saya percaya bahawa sektor perniagaan yang dinamik mampu menghasilkan dan menawarkan produk serta perkhidmatan yang berkualiti. Ini akan memacu Malaysia ke arah negara dengan ekonomi berpotensi tinggi. Justeru, negara perlu menjana tenaga buruh yang mahir dan cerdik pandai – iaitu sebuah situasi yang cukup bertentangan dengan realiti sekarang. Sungguhpun ekonomi kita pada masa ini banyak bergantung kepada tenaga buruh asing, namun keadaan ini tidak mapan dan tidak dapat dikekalkan selama-lamanya. Pada masa ini, rakyat Malaysia yang berada di tangga ekonomi terbawah tertekan hebat akibat dasar-dasar yang mengalakkan pergantungan kepada tenaga asing yang kurang mahir dan murah. Justeru, golongan berpendapatan dan berpendidikan rendah di Malaysia tidak dapat bersaing dengan tenaga asing. Oleh itu, saya menyokong polisi Pakatan yang memperkenalkan dasar gaji minima sebanyak RM1,100 sebulan sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk menggerakkan ekonomi kita ke arah ekonomi bernilai tinggi.

    Memanfaat tenaga kerja tempatan

    Pada kebiasaannya, ekonomi di negara-negara maju yang lain menunjukkan bahawa warga negara itu dapat mencari kerja dalam sektor perkhidmatan – misalnya sebagai mekanik mahupun pelayan restoran – dan mereka masih mampu menyara diri dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

    Jika kita ingin melihat keadaan ini berlaku di Malaysia, maka para pekerja perlu juga menaiktaraf kadar produktiviti masing-masing. Oleh itu, kita perlu merombak dan meningkatkan mutu sistem pendidikan kita pada setiap peringkat yang ada. (Pendapat saya tentang reformasi pendidikan terkandung dalam dua kenyataan yang lain.)

    Secara amnya, saya percaya bahawa pendidikan teknik dan vokasional harus dimartabatkan dan digalakkan oleh kerajaan. Para pentadbir dan pendidik dalam arus pendidikan teknik dan vokasional perlu menjalinkan kerjasama rapat dengan industri demi mewujudkan program perlatihan yang berstruktur dan berfaedah. Aktiviti penyelidikan (R&D) yang diwujudkan dengan kerjasama industri serta universiti harus juga dipertingkatkan untuk meningkatkan produktivi para pekerja dan perniagaan masing-masing.

    Saya percaya bahawa kerajaan seharusnya memudahkan tetapi bukannya terlibat secara terus dalam penjanaan aktiviti ekonomi. Saya percaya bahawa peranan utama kerajaan terletak dalam mewujudkan tata kelola pemerintahan yang baik dan bersih (good governance), dan bukannya mengendalikan perniagaan. Kerajaan seharusnya bertindak campur tangan hanya apabila berlakunya kegagalan pasaran (market failure), misalnya dengan membantu mewujudkan ruang yang sama rata demi mempertahankan kepentingan orang ramai, ataupun dengan membekalkan kemudahan awam yang diperlukan. Sebagai contoh, jika berlaku kegagalan pasaran di mana para pengguna teraniayai akibat kekurangan pengetahuan, kerajaan harus bertanggungjawab menetapkan dan menguatkuasakan undang-undang yang relevan. Jika berlaku situasi di mana kemudahan awam seperti infrastruktur asas, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan perumahan awam kurang disediakan, kerajaan harus berdialog dengan pihak berkepentingan untuk menentukan tahap keperluan lalu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara telus dan berkesan kos.

    Seandainya kita bijak menguruskan ekonomi serta berusaha membina Malaysia yang lebih terbuka, demokratik, telus dan adil, saya percaya bahawa kita semua akan menyaksikan penghijrahan balik semula warganegara Malaysia yang pakar dan mahir tetapi ketika ini sedang bekerja mencari rezeki di luar negara serta pengaliran kembali wang dan kapital yang perlu untuk membiayai pembangunan ekonomi. Dengan itu, seluruh rakyat Malaysia akan dapat menikmati rahmat daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat serta pembangunan sosial yang holistik.

    Dr. Ong Kian Ming
    Strategis Pilihanraya DAP
    Calon Parlimen P102 Serdang
    Khamis, 18 April 2013

Leave a reply.