• Kenyataan Peribadi PRU13: Aktiviti Senaman

    “Saya suka bersukan…”

    Setiap dari kita perlu aktif dalam senaman fizikal begitu juga dengan mental. Senaman sepatutnya dijadikan sebahagian dari aktiviti harian semua orang tanpa mengira mahupun latar belakang.

    Sejak kecil lagi saya gemar melibatkan diri dalam aktiviti fizikal. Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa saya yang menghantar saya ke kelas renang kanak-kanak dan membenarkan saya aktif dalam pelbagai sukan termasuk badminton, skuasy dan tenis di kelab yang berdekatan.

    Semasa Darjah Enam, saya pernah mewakili Sekolah La Salle Petaling Jaya dalam sukan hoki sebagai penyerang, dan ketika di Hughes Hall, Universiti Cambridge saya merupakan kapten kepada pasukan bola sepak (sebagai pemain leftback). Namun, dalam beberapa jenis sukan yang saya ceburi, saya lebih meminati sukan larian dan bola keranjang sehingga sekarang.

    Saya pernah menjadi wakil dalam sukan larian berhalang sejauh 2000 meter dan sukan lumba lari sejauh 3000 meter Ketika di Raffles Institution. Walaupun pasukan saya tidak memenangi apa-apa pun pada peringkat nasional, saya masih gemar menyertai dan mengikuti perkembangan semasa kedua-dua jenis acara sukan itu.

    Sehingga kini, saya masih aktif berlari sekurang-kurangnya 30 kilometer setiap minggu dan menjadi peserta dalam acara lumba lari jarak jauh (lebih 10 kilometer) sekurang-kurangnya sekali sebulan.

    Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, saya telah menyertai acara larian dalam 10 acara separuh marathon dan rekod terbaik saya adalah sepantas 1 jam 49 minit. Saya menaruh harapan agar dapat menyertai acara marathon penuh yang pertama pada akhir tahun 2013 ini iaitu acara yang akan berlangsung di jambatan baru Pulau Pinang.

    Adakalanya saya juga bermain bola keranjang di taman permainan di PJ berhampiran kediaman saya. Namun saya rasa sukar untuk bersaing dengan pemain-pemain yang lebih muda. Walaupun saya tidak berkesempatan untuk selalu bermain bola keranjang, saya masih cuba mengikuti berita pasukan bola keranjang universiti saya iaitu pasukan Duke Blue Devils yang merupakan antara pasukan bola keranjang terbaik di Amerika Syarikat. Saya juga pernah bermain bersama dengan seorang pemain bola keranjang di Universiti Duke semasa menamatkan ijazah kedoktoran saya di sana. Nama beliau ialah Gerald Henderson dan beliau sekarang merupakan pemain untuk pasukan Charlotte Hornets di negeri North Carolina.

    Saya merindui saat-saat bermain tenis dengan isteri saya selapas tamat bekerja setiap hari ketika menetap di Amerika Syarikat. Di Malaysia, apa yang mengecewakan adalah sukarnya untuk mencari gelanggang tenis walaupun di tengah-tengah bandar besar, lebih-lebih lagi gelanggang tenis selesa selepas waktu kerja.

    Hakikatnya, rakyat Malaysia terutamanya penduduk bandar kekurangan tempat awam dan kemudahan awam bagi tujuan bersukan dan bersenam. Biasanya pada hujung minggu, tempat letak kereta berdekatan taman awam dalam Lembah Klang (misalnya taman awam Taman Tun Dr. Ismail, taman Bukit Kiara, Hutan Rekreasi Bukit Gasing, Taman Metropolitan Kepong, Taman Tasik Perdana dan Taman Tasik Permaisuri) penuh sesak dengan kenderaan-kenderaan pengunjung.

    Selepas berakhirnya PRU13, saya berharap agar Kerajaan Persekutuan yang baru akan memandang serius kepada masalah ini dan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin.

    Bukan sekadar senaman fizikal…

    Bagi saya senaman fizikal sahaja tidak memadai jika seseorang itu benar-benar ingin mengamalkan gaya hidup yang sihat. Senaman mental seperti permainan catur dan lain-lain amat penting dalam mewujudkan minda yang sihat dan cergas. Saya sendiri pernah mewakili sekolah saya, La Salle PJ, dalam pertandingan catur. Sehingga kini saya suka bermain catur dengan teman, biasanya di laman web kerana pada pandangan saya permainan catur adalah sangat  menarik kerana mencabar minda.

    Di tempat kerja pula, adakalanya saya berehat seketika dengan bermain kubus Rubik. Biasanya saya memerlukan masa purata sebanyak 75 saat untuk menyelesaikannya.

    Memupuk budaya membaca dalam masyarakat Malaysia

    Semasa zaman kanak-kanak, saya suka membaca pelbagai jenis buku. Mujurlah ibu bapa saya sangat memberi galakkan. Ia sudah menjadi tabiat positif sehingga kini. Antara buku yang menjadi tarikan bagi saya ialah buku-buku bergenre fiksyen, analisa politik, ekonomi, biografi, esei, dan buku-buku keagamaan dalam tiga bahasa walaupun dalam keadaan kesuntukan masa.

    Sayangnya, ramai warga Malaysia tidak berminat untuk membaca. Mungkin ini disebabkan berlakunya revolusi dalam dunia teknologi. Bagi golongan khususnya yang mendiami kawasan bandar, mereka mungkin lebih suka bermain telefon bimbit daripada membaca buku atau majalah semasa perjalanan ke sekolah atau ke tempat kerja dalam pengangkutan awam.

    Senaman dan budaya membaca antara yang menjadi perhatian saya. Jika saya diundi sebagai Ahli Parlimen, saya akan berusaha untuk menggalakkan dan memberi inspirasi kepada semua supaya lebih kerap bersenam secara fizikal dan mental. Saya juga berhasrat memainkan peranan, tidak kira besar atau kecil, untuk mengalakkan warga Malaysia agar lebih kerap mengamalkan budaya membaca.

    Dr. Ong Kian Ming
    Strategis Pilihanraya DAP
    Calon Parlimen P102 Serdang
    Khamis, 18 April 2013

Leave a reply.