• Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa perjelas kemerosotan berterusan Malaysia dalam kajian TIMMS 2011 dan jurang ketara antara markah purata pelajar lelaki dan perempuan bagi subjek Matematik dan Sains

    Pada 2007, Malaysia telah mengalami kemerosotan purata pencapaian dalam dua subjek teras iaitu – Sains dan Matematik (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) dalam kajian oleh Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) membabitkan 59 negara.

    Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata.

    Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

    Di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah terbesar sekali di kalangan 59 negara.

    Terbaru, kita dikejutkan lagi dengan laporan “Trends in International Math and Science Study” (TIMSS) 2011 yang diterbitkan pada 11hb Disember lalu bukan sahaja menunjukkan Malaysia telah turun beberapa anak tangga dalam kedudukan dan markah purata bagi Matematik dan Sains – satu pencapaian yang tidak boleh diterima – malah menonjolkan satu aspek yang lebih membimbangkan iaitu wujudnya jurang yang amat besar di antara pelajar lelaki dan perempuan di Malaysia dari sudut Markah Purata Matematik dan Sains.

    Markah purata Matematik bagi Malaysia, iaitu 440, boleh dibahagikan dengan lebih tepat kepada pelajar perempuan (449) dan pelajar lelaki (430), menunjukkan jurang gender, ataupun gender gap, sebanyak 19 markah, meletakkan Malaysia di anak tangga ke-37 dari 42 negara. Sebagai perbandingan, Finland mempunyai jurang gender sebanyak 4 markah – 516 bagi pelajar perempuan dan 512 bagi pelajar lelaki. (Lampiran 1). Jurang gender ini adalah lima kali ganda dengan negara teratas.

    Markah purata Sains bagi Malaysia pula adalah 426, dan boleh dibahagikan kepada markah purata pelajar perempuan (434) dan lelaki (419), menunjukkan jurang gender sebanyak 15 markah, yang meletakkan kita di anak tangga ke-24 dari 45 buah negara. Sebagai perbandingan, Kazakhstan hanya mempunyai jurang gender sebanyak 4 markah – 492 bagi pelajar perempuan dan 488 bagi pelajar lelaki. (Lampiran 2)

    Jurang di antara pelajar perempuan dan lelaki ini menampakkan satu masalah yang lebih besar dalam sistem pendidikan kita: pencapaian rendah pelajar lelaki yang sistematik dalam sistem pendidikan, yang jelas dilihat dari kadar keciciran pelajar lelaki di sekolah-sekolah menengah dan jurang yang makin lebar antara pelajar perempuan dan lelaki dalam sistem pengajian tinggi, terutamanya di IPTA.

    Kami menggesa Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memberikan penjelasan yang menyeluruh tentang mengapa kejadian jurang gender ini berlaku serta meyakinkan rakyat Malaysia bahawa beliau akan mengatur langkah-langkah yang khusus bagi menangani masalah ini. Walaupun laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ada membangkitkan isu ini, namun tiada apa-apa langkah yang khusus dan terperinci yang telah dinyatakan untuk mengatasi masalah tersebut secara menyeluruh.

    Kenyataan bersama oleh Ahli-ahli Pasukan Petugas Pendidikan Pakatan Rakyat (PET):

    Tony Pua, Ahli Parlimen PJ Utara
    Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai
    Dr Ong Kian Ming, Strategis Pilihanraya DAP

    Lampiran 1: Markah Matematik Purata Mengikut Jantina

    Lampiran 2: Markah Sains Purata Mengikut Jantina

Leave a reply.